SURAH Yusuf adalah surah yang ke-12 dalam susunan mushaf Uthmani, ia berjumlah 111 ayat dan merupakan surah yang tergolong dalam surah Makkiyah kerana diturunkan di Makkah sebelum hijrah. Ianya dinamakan Surah Yusuf kerana surah ini membincangkan tentang Nabi Yusuf secara khusus yang tiada sepertinya dalam surah lain.
Pada permulaan surah ini dinyatakan oleh Allah taala yang bermaksud:
“Alif lam ra. Ini adalah ayat-ayat al-Kitab (al-Quran) yang nyata (daripada Allah). Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab, agar kamu memahaminya. Kami menceritakan kepadamu kisah paling baik.”
Ibnu Kathir dalam tafsirnya, menerangkan asbabun nuzul (sebab turun) sekali gus mensyarahkan ayat 1 -3 surah ini dengan mengambil riwayat daripada Ibnu Jarir at-Tabari daripada Ibnu Abbas yang berkata:
“Mereka (para sahabat) berkata kepada Rasulullah SAW, ‘Wahai Rasulullah, kami mohon engkau bercerita kepada kami!’ Maka turunlah ayat: nahnu naqussu alaika ahsanal qasas (Kami ceritakan kepadamu kisah yang paling baik).” Beliau juga meriwayatkan daripada Mush’ab bin Saad, daripada ayahnya dia berkata, ‘Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, maka dibacakan kepada mereka beberapa waktu lamanya. Kemudian mereka berkata kepada baginda, ‘Ya Rasulullah sekiranya engkau bercerita kepada kami?’ Maka Allah menurunkan ayat pertama dan kedua yang terdapat dalam Surah Yusuf ini, lalu dibacakanlah oleh beliau kepada mereka beberapa lama waktu lamanya. Mereka pun mengharapkan Rasulullah memberitakan kepada mereka. Kemudian Allah menurunkan ayat: Allahu nazzala ahsanal hadith (Allah menurunkan sebaik-baik perkataan – Surah Az-Zumar, ayat 23) dan ayat seterusnya.”
“Al-Hakim juga meriwayat hadis yang serupa. Daripada Ishaq bin Rahawaih daripada Amr bin Muhammad al-Qurasyi al-Manqari. Ibnu Jarir juga juga meriwayatkan dengan sanadnya daripada daripada Mas’udi daripada Aun bin Abdullah, dia berkata, ‘Setelah sahabat berasa bosan, maka mereka berkata, Wahai Rasulullah, tuturkanlah kepada kami sebuah hadis, lalu Allah
Menurunkan ayat: Allahu nazzala ahsanal hadith.” (Allah menurunkan sebaik-baik perkataan – Surah Az-Zumar, ayat 23). Kemudian mereka berasa bosan dan memohon agar Rasulullah menuturkan apa yang lebih tinggi daripada hadith dan lebih rendah daripada al-Quran, yang mereka maksudkan adalah kisah-kisah. Maka Allah taala menurunkan ayat (maksudnya); Alif lam ra. Ini adalah ayat-ayat al-Kitab (al-Quran) yang nyata (daripada Allah). Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab, agar kamu memahaminya. Kami menceritakan kepadamu kisah paling baik.” (Rujuk Tafsir Ibnu Kathir – terjemahan asal dan tahqiq daripada Lubaabut Tafsir Min Ibni Kathir oleh Dr. Abdullah bin Muhammad bin Abdul Rahman bin Ishaq Alu Syeikh, penterjemah M. Abdul Ghoffar E.M. 2009. Jakarta: Pustaka Imam Syafii, jilid 4, ms 404)
Terlebih dahulu Imam Jalaluddin As-Sayuti, antara tokoh tafsir al-Quran terawal dalam Islam juga memgambil daripada sumber yang sama dengan Imam Ibnu Kathir dalam menyatakan sebab turun ayat dan surah ini. (Rujuk Asbabun Nuzul; Sejarah Turunnya Ayat-Ayat Al-Quran – terjemahan Lubaabun An-Nuquul fi Asbabin Nuzul oleh K. H. Q. Salleh, H. A. A. Dahlan dan Prof Dr H. M. D. Dahlan. 2004. Kuala Lumpur: Victory Agency)
Selain itu, syarah tafsir yang sangat menarik juga dikarang oleh ulama multi-disiplin yang pernah dimiliki oleh orang Melayu Nusantara iaitu Prof Dr Hamka, atau nama sebenarnya Hj. Abdul Malik bin Abdul Karim bin Amrullah. Beliau mentafsir dengan begitu kreatif dan kritis dengan memasukkan perbahasan dan isu semasa (pada zamannya) yang sangat sesuai dengan budaya dan suasana kita di Nusantara (rujuk tafsir Surah Yusuf dalam Tafsir Al-Azhar. 1983. Jakarta: Penerbit Pustaka Panjimas), penulis pernah bertanya kepada guru Usul al-Tafsir ketika belajar di UM, apakah kategori Tafsir Al-Azhar, sama ada bi al-Maathur, bi al-Ra’yi atau bi al-Isyari? Beliau menyatakan ianya dalam kategori Tafsir bil al-maathur, al-Ra’yi wa Islahi au Siasi. (Rujuk Prof Madya Dr Mustafa Abdullah dan Prof Madya Dr Fauzi Deraman. 2006. Pengantar Usul Tafsir. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, bagi memahami pembahagian tafsir di atas)
Menurut al-Baihaqi pula dalam kitabnya Al-Dalail, segolongan orang Yahudi masuk Islam selepas mendengar surah ini dibacakan kerana ia sesuai dengan apa yang mereka tahu daripada sumber warisan mereka sendiri iaitu Zabur dan Taurat.
Selami juga keindahan Surah Yusuf melalui pentafsiran seorang lagi ulama, pendakwah dan penulis mapan dunia Islam yang karyanya berjaya menggoncang hati yang keras, malah menyuburkan kembali kemarau hati ramai umat Islam pada masa kini, beliau adalah Dr Aidh Abdullah al-Qarni. Kini syeikh sudah menulis lebih ratusan buah buku yang menjadi fenomena antaranya adalah berjudul La Tahzan dan sebuah daripadanya adalah syarah dan tafsir khusus kepada Surah Yusuf. (Rujuk Nabi Yusuf dalam Al-Quran, terjemahan ‘Azhamun Sijjina fil Tarikh oleh Murtadho Ridhwan. 2007. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publication)
Boleh difahami daripada huraian di atas, kisah-kisah al-Quran sentiasa bertujuan memberikan pengajaran dan petunjuk (ibrah) kepada umat Nabi Muhammad SAW agar diambil iktibar dan dijadikan rujukan dalam kehidupan semasa. Boleh difahami juga banyak wacana, mesej, pengajaran dan petunjuk disampaikan kepada umat Islam melalui Rasulullah dalam bentuk cerita dan kisah. Semesti ada sebab mengapa Allah menjadikan kisah-kisah itu sebagai wasilah bagi menyampaikan mesej-mesej dan ibrah kepada manusia, dan di sini juga boleh disimpulkan bahawa ‘kisah’ adalah penting (malah disebut dalam al-Quran dan syarahnya sebagaimana di atas, kisah yang terbaik dan indah) dalam penyampaian mesej, ilmu, pengajaran, petunjuk kepada manusia apatah lagi mesej yang mutlak dan benar seperti al-Quran, tidak ketinggalan melalui hadis Rasulullah SAW juga. Sabda Rasulullah:
“Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat, dan ‘ceritakanlah’ mengenai bani Israel. Tiada sebarang kesempitan dan dosa.” (Direkod Bukhari)
Kisah-kisah daripada al-Quran dan Sastera
Almarhum Syeikh Dr Faddal Hassan Abbas (m. 2011), seorang mufassir kontemporari dari Jordan yang mengarang buku bertajuk Wacana Al-Quran; Membongkar Dakwaan Palsu Orientalis Terhadap Al-Quran (2011, PTS Islamika Sdn Bhd) terjemahan Prof Dato’ Paduka Dr Zulkifli Mohd Yusuf berkata:
“Daripada segi tempat dan ukurannya, agihan kisah menempati satu per empat daripada al-Quran. Jika dianggarkan al-Quran itu dicetak 400 halaman, jadi halaman kisah adalah 100 halaman.” (Cuplikan frasa ini tidak menepati kefahaman konteks keseluruhan perbincangan buku tersebut, justeru pembaca perlu merujuk dan menelaah sendiri wacana yang sangat ilmiah dalam buku ini bermula daripada bab enam; Gaya Bahasa Kisah dalam Al-Quran, bab tujuh; Kisah Nabi Yusuf, bab lapan; Kesepaduan Tema yang Terdapat dalam Al-Quran, bab sembilan; Fasilah Ayat-Ayat Al-Quran)
Ini menunjukkan bahawa memang satu daripada sifat al-Quran adalah kaya dengan kisah-kisah dan cerita. Antaranya adalah kisah yang sudah berlalu malah ada juga kisah-kisah masa hadapan dan kisah-kisah ghaibiyah yang sengaja Allah ceritakan bagi dijadikan panduan dan peringatan kepada hamba-Nya seperti kisah-kisah syurga dan neraka, hari kiamat, barzakh, para malaikat, nabi-nabi dan rasul-rasul, Iskandar Zulqarnain, Luqmanul Hakim, Ashabul Kahfi, Ashabul Ukhdud dan banyak lagi sebagaimana yang dikumpulkan dan dibukukan oleh para ulama dan penulis pada hari ini.
Namun dalam masa yang sama kita memahami dan beriktiqad bahawa kisah dan cerita dalam al-Quran sama sekali tidak akan dapat disamakan dalam apa sahaja sudut dengan kisah dan cerita tulisan dan rekaan manusia sebagaimana yang biasa dinisbahkan dengan karya cereka, fiksyen atau sastera. Tidak timbul isu sama ada penulis cuba meniru dan menandingi kemukjizatan kisah al-Quran dengan cerita rekaan mereka, kerana sebagai seorang Islam secara asasnya lagi sewajarnya mereka difahamkan tiada sesuatu perkara pun yang boleh menyamai Allah dan kuasa penciptaan-Nya yang Maha Kuasa, Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Sebagaimana yang diterangkan oleh Ibnu Kathir dan Prof. Dr. Hamka dalam tafsir masing-masing dalam mentafsirkan ayat 111, Surah Yusuf yang bermaksud:
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”
Ustaz M. Faisol Fatawi, pensyarah Bahasa dan Sastera Arab, Fakultas Humanurio dan Budaya, Universiti Islam Negeri (UIN), Malang, mengungkapkan dalam sebuah kertas kerja beliau:
“Semenjak turun di belahan jazirah Arab, Islam tidak asing daripada sastera. Lingkungan tempat turun al-Quran adalah masyarakat Arab yang pandai dalam seni bahasa. Nabi Musa diutus di hadapan masyarakat yang pandai bermain sihir, maka beliau diberi kemukjizatan yang boleh merubah tongkat menjadi ular. Nabi Isa diutus kepada satu kaum yang memiliki kemajuan pengetahuan dalam bidang kedoktoran, maka beliau diberi kemampuan dapat menghidupkan orang mati atau menyembuhkan penyakit kusta. Sedang Nabi Muhammad SAW diutus di tengah masyarakat yang fasih dan pandai dalam berbahasa serta memiliki tradisi sastera yang cukup tinggi, maka beliaupun diberi kemukjizatan al-Quran. Para sarjana Muslim, baik klasik mahupun moden, mengakui kemukjizatan al-Quran. Al-Quran memiliki struktur bahasa dan makna lain berbanding dengan bahasa Arab yang ada; itulah yang disebut dengan al-‘ijaz al-bayani (kemukjizatan yang bersifat retorikal).
“Lebih lanjut, para intelektual Muslim moden, seperti Amin Al-Khuli, Bintu Syathi’, Adonis dan lain-lainnya, menyedari akan adanya nilai sasterawi al-Quran yang sangat tinggi; mereka menyatakan bahawa al-Quran merupakan Kitab Sastera paling agung sepanjang sejarah. Namun demikian, al-Quran tidak seperti kitab-kitab atau buku-buku lainnya yang dilahirkan dari tangan-tangan manusia. Al-Quran sendiri menepis anggapan dan tuduhan kalau al-Quran dibuat oleh penyair: ‘Dan ia (al-Quran) bukanlah ucapan seorang penyair.’ (Surah al-Haqqah, ayat 41)” (Rujuk kertas kerja berjudul Sastera Islam dalam Dinamika Sosial Indonesia yang dibentangkan dalam Seminar Nasional “Perkembangan Sastra Islam Indonesia Kontemporer di Fakultas Humaniora dan Budaya Universitas Islam Negeri (UIN) Malang, pada 25 April 2009)
Mungkin atas dasar kekaguman kepada kesempurnaan dan kemukjizatan al-Quran, mendorong sesetengah sasterawan dan cendekiawan Islam menganggap al-Quran sebagai sumber teks sastera yang terbaik dan agung sepanjang zaman, justeru timbul persoalan apakah salah kita menganggap al-Quran sebagai sumber sastera yang Maha Tinggi ciptaannya oleh Allah Maha Agung, yang wajar dicontohi uslubnya (disiplin, bentuk dan gaya) malah dieksploitasi atas nama wasilah dakwah sementelah tiada nas yang qat’ie (muktamad) menidakkan (baca: mengharamkan) perkara itu secara mutlak melainkan ijtihad beberapa cendekiawan Islam? Dan apakah pula status pandangan para cendekiawan Islam kontemporari di atas? Tidak salah penulis katakan, hasil daripada kekaguman ini jugalah yang melahirkan Teknik Surah Yusuf-TSY (Rujuk perbincangan sub-topik seterusnya).
Persoalan di atas dirungkaikan dengan baik apabila isu ‘cerita’ dan ‘qissah’ al-Quran daripada laman sesawang penulis mendapat perhatian daripada Ustaz Shahrizal Nasir, seorang pensyarah Bahasa dan Sastera Arab yang bertugas di Universiti Islam Sultan Zainal Abidin (UNISZA) yang dilihat semakin memberikan perhatian kepada perkembangan semasa lapangan kesusasteraan tanah air. Kehadiran cendekiawan dan pengkritik seperti beliau sangat didambakan dalam jagat sastera tanah air apatah lagi bagi membincangkan Sastera Islam melalui sumber primer daripada Asia Barat yang berbahasa Arab hasil karangan para ulama muktabar. (Bagi mengikuti perbincangan tersebut mohon layari : http://kalamkhalifah.com/2011/11/keegoan-dan-dosa-akademik/)
Ustaz Shahrizal menjelaskan dan memberikan pencerahan dalam pendefinisian cerita dan kisah menurut disiplin khas mengenai pemahaman terhadap kisah daripada al-Quran. Beliau yang memetik tulisan ulama muktabar seperti Syeikh Manna’ al-Qattan serta mendatangkan kisah bagaimana sebuah tesis Ph.D yang berkaitan dengan kisah al-Quran pernah ditolak oleh Syeikhul Al-Azhar dan mendatangkan kontroversi di Universiti Al-Azhar suatu masa dahulu. (Bagi bacaan lanjut mohon rujuk http://rizalnasir.blogspot.com/2011/11/kecelaruan-terhadap-qissah-al-quran.html, bagi memahami perbincangan dalam tulisan ini, membaca tulisan Ustaz Shahrizal adalah suatu kewajipan).
Sebuah lagi pencerahan didapati melalui sebuah jurnal tulisan Dr Zulkarnain Mohamed yang menulis:
“Berkenaan sumber Islami, sebagai contoh dalam mengkaji al-Qur’an berasaskan pendekatan taamul, Abd al-Raziq (2002: 43-46) mengemukan tiga saranan yang jelas, iaitu pertama cerita al-Quran tidak boleh dikaji dengan pengukuran genre sastera yang bersifat insani. Seterusnya, kajian cerita dalam al-Quran tidak boleh dicampuradukkan dengan karya sastera insani walaupun kedua-duanya disentuh dalam satu kajian. Selain itu, cerita dalam al-Quran tidak wajar ditiru. Sebaliknya, ia hanya sesuai perlu dijadikan panduan atau metode kajian.” (Rujuk jurnal berjudul Pendekatan Taamul-taklif dalam Kajian Sastera, Sari-International Journal of the Malay World and Civilazation 29(1)(2011): 137-152)
Kita cuba memahami ketiga-tiga saranan tersebut yang mana pada poin pertama, jelas ianya tiada bersangkutan dengan perbincangan tulisan dan polemik ini kerana TSY tidak mengukur cerita al-Quran melainkan TSY-lah yang mengambil kebaikan daripadanya melalui ‘bentuk, ciri, sifat dan isi’. Pada poin kedua, jika ia bermaksud salah jika menggunakan sebuah teori bagi mengkaji cerita dalam al-Quran dan sastera insani, maka ia juga dilihat tidak bersalahan dengan TSY kerana TSY tidak bersifat teori yang dijadikan kayu ukur kepada cerita al-Quran atau sastera insani melainkan teknik yang terhasil adalah daripada Surah Yusuf itu sendiri, dan poin ketiga juga ada kaitan langsung dengan polemik ini khususnya apabila membincangkan mengenai TSY, malah ia seakan menyokong pula TSY pada pandangan saya merujuk kepada frasa ‘cerita dalam al-Quran tidak wajar ditiru. Sebaliknya, ia hanya sesuai perlu dijadikan panduan atau metode kajian’. Nah, ini bertepatan dengan asas kepada penciptaan TSY oleh Pn. Ainon Mohd atau apakah yang dimaksudkan oleh sarjana tersebut adalah bersalahan dengan kefahaman saya? Jika benar ianya wajar diberi perhatian dan disyarahkan dengan lebih detil bagi kefahaman semua pihak.
Mungkin isu asasnya sebagaimana yang disedari oleh beberapa pihak, adalah kerana nama dan jenama teknik itu sendiri yang dikaitkan langsung dengan Surah Yusuf dan apabila didakwa pula dengan teknik ini akan melahirkan sastera yang indah seperti al-Quran, maka persoalan yang mungkin muncul dan mengelirukan adalah, bagaimana mungkin ia menjadi seindah al-Quran sebagaimana yang dicanangkan? Jika jawapan adalah kerana bentuk dan ciri yang ditiru daripada al-Quran namun dalam masa yang sama orang ramai yang membacanya tidak merasainya apa yang diperkatakan. Justeru kerisauan yang muncul adalah kata-kata kritikan seperti, “Ah, tengok. Kata ikut al-Quran cerita jadi indah dan sedap dan menyentuh hati, tidak pun! Bohong semuanya.” Dan lebih jauh lagi mungkin mereka ini akan menyalahkan al-Quran kerana karya yang dituliskan berdasarkan kerangka al-Quran tidak sedap dan indah serta menyentuh hati.
Penulis juga terfikir perkara yang sama, justeru mungkin penyelesaian kepada isu ini adalah Pn Ainon perlu menukar Teknik Surah Yusuf kepada Teknik PTS atau Teknik Ainon Mohd sahaja. Kemudian jelaskan ciri-cirinya adalah hasil pendekatan dan pemerhatian kepada teks al-Quran yang khusus kepada Surah Yusuf. Penulis yakin pihak PTS khususnya Pn Ainon sendiri boleh bertoleransi atas isu ini iaitu menukar nama Teknik Surah Yusuf kepada sesuatu yang tidak menampakkan perkaitan langsung dengan Surah Yusuf.
Namun jika dibaca betul-betul naskhah tulisan Pn Ainon, Teknik dan Panduan Menulis Novel Surah Yusuf (2011) dan bagi sesiapa yang pernah menghadiri kelas beliau, pasti tidak menemui walau satu frasa pun yang mengatakan mahu atau perlu meniru dan menyamakan cerita rekaan tulisan sendiri dengan mahakarya Allah taala, melainkan meladeni bentuk-bentuknya sahaja. Dalam masa yang sama, kerisauan Ustaz Shahrizal juga berasas dan perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kekeliruan yang lebih besar pada kemudian hari, dan pastinya TSY bukan hukum syariat yang qat’ie daripada Allah taala, malah tidak pernah disebut oleh Rasulullah SAW. Maka tidak wajar juga pendokong TSY mengatakan adalah salah (baca: haram) bagi sesiapa yang tidak menuruti TSY kerana ia adalah teknik yang berasal daripada al-Quran.
Teknik Surah Yusuf kahwin Gagasan Persuratan Baru
Di sini kemunculan Teknik Surah Yusuf (TSY) yang digagas oleh Pn. Ainon Mohd hasil daripada renungan dan pemikiran beliau selama belasan tahun sudah, sehingga terjelma melalui bukunya yang berjudul Teknik dan Panduan Menulis Novel Surah Yusuf menimbulkan beberapa polemik hebat di laman sesawang khususnya apabila diberi perhatian khas oleh pengkritik sastera mapan yang juga penggagas Persuratan Baru (PB), Tn. Hj. Affandi Hassan. Jawab menjawab secara ilmiah bersadur sindiran yang berbaur cercaan antara pengkomen tanpa nama bergelar Anynoumous menambah lagi bara yang menghangat. Seperti biasa, sebuah wacana yang sewajarnya murni bagi sebuah pencerahan ilmu khususnya mengenai Sastera Islam menjadi tempat luahan dan buakan perasaan amarah semata. Teringat penulis kepada perumpaan kritikan oleh Dale Carnigie:
“Mengkritik itu ibarat merpati pembawa surat.” (Rujuk How To Win Friends & Influence Peoples, 2011, terjemahan oleh PTS Pro Sdn Bhd)
Penulis sengaja mendiamkan diri dan dengan tekun membaca, memerhati dan mencerap setiap perbahasan dengan waras akal dan sedikit penilaian melalui ilmu asas Islam seperti usul tafsir dan ulum al-Quran yang dipelajari, serta pendedahan awal TSY daripada pengagasnya sendiri. Dalam masa yang sama penulis juga sudah terlebih dahulu sudah lama mengkhatamkan rujukan induk PB berjudul Pendidikan Estetika Melalui Pendekatan Tauhid (1992) karangan Affandi Hassan. Jujurnya penulis berasa kagum terhadap gagasan tersebut yang meletakkan wacana dan ilmu sebagai unsur utama dalam karya, yang sepatutnya disebut sebagai persuratan dan bukannya sastera menurut Affandi Hassan. Kekentalan falsafah dan galur wacananya yang jelas dan utuh sangat memikat hati dan membuat diri penulis tidak boleh berkata PB adalah gagasan yang tidak relevan dalam konteks realiti kebobrokan dan kebejatan kesusasteraan dan penulisan cereka yang semakin menggila dalam pasaran sama ada dari segi bentuk mahupun isi pada hari ini. Pastinya karya-karya begitu lahir daripada penulis yang tidak jelas tanggungjawab (baca: taklif) sebagai seorang Muslim sejati menurut al-Quran dan Sunnah malah mungkin tidak pernah tahu (baca: jahil) adanya faktor dosa dan pahala dalam penulisan mereka yang akan ditimbang-tarakan oleh Allah di Padang Mahsyar kelak.
Bagi menggambarkan PB sebagaimana yang dimaksudkan oleh Affandi Hassan, beliau menyatakan:
“Pertama, PB mengutamakan ilmu, pemikiran dan kebijaksanaan… Kedua, PB memakai gaya penulisan yang bercorak kersarjanaan, gaya ilmiah, tetapi indah. Gaya Ilmiah itu kerana sifatnya ilmu; tetapi indah kerana disampaikan dalam bentuk seni. Ketiga, PB mengutamakan gagasan, membicarakan dengan mendalam gagasan itu dengan menggunakan watak-watak bermoral, beragama, berilmu dan sebagainya… Keempat, PB mengutamakan daya kreatif yang tinggi, terkawal dan beradab… yang diutamakan dan diberikan kedudukan tinggi dalam PB antara lain ialah stylazation of idea…” (Dipetik dalam Affandi Hassan, Mengapa Saya Menulis Aligupit, Dewan Sastera, Kuala Lumpur: DBP. Daripada Muhammad Zarif Hassan @ Zulkifli dalam kertas kerjanya yang berjudul Kepengarangan Muda; Mencari Sinar Tradisi, dibentangkan dalam Perhimpunan Penulis Muda kali ke iii yang lalu)
Sering kali penulis mendengar dan berbincang mengenai PB dan biasanya pandangan yang diberikan oleh sahabat penulis adalah, PB mengutamakan wacana melebihi cerita sedangkan sastera itu sendiri adalah seni bercerita melalui penulisan, justeru andai ceritanya tiada, tidak indah, tidak teknikal sekadar wacana, kenapa mahu menulis karya kreatif, baik tulis buku ilmiah sahaja. Di sinilah penulis melihat kerelavanan beberapa(!) bentuk utama yang dianjurkan oleh TSY lantas berpendapat mungkin ada titik jumpa antara kedua-duanya bagi saling bergandingan.
Antara beberapa ciri TSY sebagaimana yang dijelas dalam buku Teknik dan Panduan Menulis Novel Melalui Surah Yusuf adalah:
1. Bahasa Melayu Tinggi (BMT), seluruh penulisan menggunakan bahasa Melayu yang lengkap ejaan dan tatabahasanya bagi tujuan didaktik. Pn. Ainon dan Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan yang tidak perlu diperkenalkan lagi kesarjanaannya dalam bidang bahasa Melayu merujuk kepada Profesor Basil Bernstein (1924-2000, http://en.wikipedia.org/wiki/Basil_Bernstein), seorang tokoh bahasa berbangsa Yahudi dari British dalam isu ini, iaitu bahan bacaan sempurna (ejaan dan tatabahasanya) yang diberikan kepada anak-anak akan mampu mendidik dan membantu pensetoran bahasa sekali gus memberikan kesan positif kepada gaya penulisan dan percakapan malah pemikiran anak-anak dari kecil, terbukti mereka yang terdedah dengan bahan bacaan sebegini lebih cepat matang. Antara lain hujah mereka, al-Quran dan hadis Rasulullah diungkapkan dalam Bahasa Arab Tinggi (fushah) yang menyebabkan ia tekal dibaca sehingga hari ini malah mudah dihafal.
Ulasan: Sesuai dengan gaya penulisan kesarjanaan PB dalam poin nombor dua melalui takrif di atas, seharusnya bahasa sesebuah karya juga perlu dijaga dan tidak disemberonokan dengan istilah-istilah bahasa pasar malah ianya mampu menjadi indah apabila BMT dapat dikuasai dan dilenturkan dengan baik, dalam masa yang sama kita tidak mengharapkan sesebuah karya menggunakan laras bahasa tesis yang pasti kaku dan beku itu bukan?
2. TSY menekankan karya Patuh Syariah (Syariah Compliant), selari dengan PB yang dari awal lagi menolak sebarang plot malah watak yang tidak sesuai dengan syarak. Justeru sering kita terbaca PB mengkritik keras novel Salina karangan SN A. Samad Said atau mantan pensyarah penulisan kreatif USM, Dr. Fatimah Busu berjudul Salam Maria. Malah TSY tidak membenarkan watak berkelakuan mungkar seperti berpegangan tangan dengan bukan mahram, berdua-duaan, berdating, watak yang tidak menutup aurat dan sebagainya sesuai dengan syariat Islam. Kekangan ini menuntut kepada pengkarya menjadi lebih kreatif dalam mengungkapkan konflik-konflik yang mahu digarapkan dalam cereka mereka. Antara penyelesaian yang diberikan adalah plot mungkar tersebut boleh digambarkan melalui dialog dan bukannya naratif realis yang menggambarkan secara detil plot tersebut seperti plot rogol, zina dan sumbang mahram. (Rujuk buku Teknik Penulisan Novel Melalui Surah Yusuf)
Ulasan: Tiada yang bersalahan malah sangat selari antara TSY dan PB dalam isu ini.
3. Tujuh puluh peratus adalah dialog dan cerita digerakkan dengan dialog, pengiraan dibuat ke atas Surah Yusuf dan daripada 111 ayat itu ternyata 86 ayat adalah berbentuk dialog, namun dialog-dialog itu bukankah dialog picisan melainkan dialog yang tinggi nilai bahasa dan wacananya malah dipenuhi dengan ungkapan-ungkapan indah dengan tamsilan dan sebagainya. Di sanalah duduk letaknya wacana-wacana keilmuan yang dileburkan dan dilenturkan dengan bahasa lunak. Malah dalam al-Quran watak-watak tidak diberikan nama yang khusus, latar yang khusus dan detil, penceritaan bentuk seperti tubuh badan dan bangunan namun keindahannya terletak pada dialog yang diungkapkan.
Nota: Hal ini amat bersesuaian dengan PB yang mengutamakan wacana dan ilmu yang pastinya boleh digerakkan dengan lancar melalui dialog-dialog yang indah dan informatif. Hal ini dilihat sangat-sangat selari dengan poin-poin dalam penerangan di atas. Dari sudut pembacaan dan kesan pada pembaca juga ternyata dialog yang indah, baik, informatif, berilmu lebih mudah dihayati dan difahami oleh pembaca berbanding naratif panjang yang kadang-kadang meletihkan dan memaksa-maksa.
Jika ditanya mengapa penulis terpesona kepada TSY, ciri-ciri di atas antara sebabnya selain daripada apabila menyemak dan membaca syarah dan tafsir (sebagaimana pada mukadimah penulisan) kepada Surah Yusuf oleh para ulama muktabar selain banyak lagi sebab meskipun penulis sendiri dalam berkarya tidak menggunakan TSY secara total. Begitu juga dengan semua penulis PTS yang pada saya setakat ini tiada yang dapat mengaplikasikan TSY dalam tulisan mereka secara total sebenarnya. Pesona dan kejujuran pengagasnya apabila dikenali secara peribadi dalam menyampaikan gagasan ini secara langsung juga tidak tertolakan niatnya yang sebenar. Namun kemudian penulis mengambil sikap Imam Syafie yang tidak hanya ittiba’ dan bertaklid namun terus meneroka dan menambahbaik apa yang sedia ada sehinggakan melahirkan mazhab dan ijtihadnya sendiri (tidak sama sekali saya samakan diri dengan beliau!). Secara peribadi saya melihat ketiga-tiga bentuk ini mampu saling melengkapi antara PB dan TSY, namun ada beberapa perkara yang penulis sendiri tidak setuju dalam TSY seperti:
1. Sebuah cerita yang indah mesti kisah cinta antara lelaki dan perempuan meskipun patuh syariah, watak protagonis mesti seorang lelaki dan mesti hensem begitu juga watak pembantu mesti seorang wanita cantik manis dan baik; tidak semestinya. Andrea Hirata melalui Lasykar Pelangi membuktikan kisah perjuangan bagi mendapat pendidikan adalah sangat indah apabila kesusahan dapat diatasi dan mereka berjaya kemudiannya. Kejayaan yang indah selepas seribu satu kejerihan dan keperitan begitu bermakna dan menyentuh perasaan. Mendakwa Surah Yusuf adalah ‘bertemakan’ percintaan gelap antara Zulaikha (nama yang diberikan oleh sumber Israeliyat kerana al-Quran tidak menyatakan secara jelas siapakah nama wanita yang digelar imraatun al-aziz (perempuan kepunyaan pembesar negeri) adalah tidak benar kerana yang dimaksudkan ‘ibrah’ yakni pengajaran dalam surah ini adalah mengjangkaui isu percintaan gelap ini.
2. Penceritaan perlu bersifat kronologi; ini akan menyebabkan kreativiti dan jalan cerita akan menjadi statik dan tepu bagi dibaca. Biarkan bentuk itu sebebasnya mengikut kreativiti penulis selagi tidak membatasi syariat Islam. Jungkir balik, antiplot dan bermacam lagi, silakan, tiada masalah kerana tiada dalil mukatamad membenar dan mengharamkan perkara ini.
Kesimpulan dan harapan
Dalam mengkritik TSY, selain daripada isu kecelaruan disiplin cerita dan kisah yang dibahaskan oleh Ustaz Shahrizal (yang masih boleh dibincangkan kerana banyak pandangan dan sumber belum digali), nampaknya PB melalui Affandi Hassan tiada poin lain secara teknikal bagi menidakkan kepraktikalan TSY dalam melahirkan penulis baru. Kalaupun tidak mampu melahirkan penulis yang membicarakan wacana dan falsafah serta ilmu dengan agam, paling tidak TSY melahirkan penulis yang kenal dosa pahala dalam penulisan dan berasa jijik mahu menulis perkara-perkara mungkar. Ini suatu pembaharuan dan kejayaan pada penulis secara peribadi. Jelas juga dalam penulisan-penulisan beliau kemudiannya hanya mengkritik pendokong TSY yang beliau gelarkan sebagai pembodek (mungkin benar!) Pn. Ainon semata. Selain daripada itu, kritikan beliau juga lebih kepada mempersoalkan keikhlasan Pn. Ainon yang padanya mengeksploitasi al-Quran bagi tujuan komersialisme (ini juga disentuh oleh Dr Zariat Abdul Rani dalam makalah beliau yang dibentangkan dalam PPMN ke-iii tempoh hari, jika ada masa penulis jemput pembaca ke PTS bagi melihat sendiri realiti bisnes buku mungkin pembaca boleh faham kenapa Pn. Ainon bersikap begitu dalam bicara dan penulisan, mohon juga rujuk tulisan penulis di : http://kalamkhalifah.com/2011/08/sastera-islam-antara-dakwah-dan-komersialisme-%E2%80%93-sebuah-ulasan-dari-pemerhati-do/).
Perlu juga diingatkan bahawa TSY mahupun PB adalah sebuah teknik dan teori ciptaan manusia yang kedua-duanya punya matlamat sama iaitu akhirnya bagi mendapatkan keredaan Allah (berorientasikan tauhid) dan menyebarluaskan ilmu-ilmu dan hikmah daripada agama yang suci itu sendiri yakni Islam. TSY dan PB juga bukan hukum yang qat’ie yang tertakluk dengan mutlak; wajib atau haram diikuti dan ditinggalkan. Sunat pun tidak, justeru yang paling tepat adalah harus sahaja. Dan semoga ia terhindar daripada makruh yang membawa kepada jalan haram (tidak mustahil kalau kerananya terjadi perbalahan, perpecahan dan fitnah memfitnah, nauzubillah malah digunakan bagi mewacanakan ilmu yang salah dan sesat malah digunakan untuk mencerca, menghina Islam dan Rasulullah sebagaimana yang diamalkan di barat!). Saya masih melihat penggabungan kedua-duanya adalah nafas baru dalam dunia kesusasteraan bagi menuju citra Sastera Islam yang lebih progresif dan dinamik serta mampu memberikan tamparan hebat kepada peminat dan pengkarya tanah air yang berdarah barat. Perselisihan antara teori dan teknik adalah lebih baik berakhir dengan penggabungan yang lebih memberi manfaat selain daripada membaikinya menurut disiplin ‘qissah’ yang benar menurut ilmu para ulama muktabar.
Dalam isu ini saya teringat sebuah kisah yang berlaku dalam peperangan, apabila seorang tentera Islam berjaya menjatuhkan lawannya dan sudah mengangkat pedang dan bersedia menghayun bagi memenggal kepada si kafir, tiba-tiba si kafir berkata lantang, “Tunggu! Dengarlah… aku naik saksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah!” Namun tentera Islam itu tidak mempedulikan dan tetap membunuhnya. Berita ini sampai kepada komander tentera Islam, tentera itu segera dipanggil dan ditanya mengenai hal itu. Dia menjawab, “Aku berasakan dia hanya menipu bagi menyelamatkan nyawanya.” Si komander bertanya dengan keras, “Apakah kau sudah belah dada dan lihat isi hatinya!?” Apakah kewajaran bagi seorang manusia yang juga punyai hati itu menilai hati manusia yang lain, malah kadang-kadang penilaian itu berdasarkan kata-kata dan tulisan (yang mungkin sengaja diungkap begitu kerana punya sebab dan niat tersendiri, dan hanya Allah dan dia sahaja tahu). Penulis yakin pengukuran dan kajian akademik malah makmal sains yang termoden sekalipun tidak mampu mengukur tahap keikhlasan dalam beramal seorang manusia itu melainkan Allah taala sahaja mutlaknya. Malah masih banyak kemungkaran yang mutlak dan jelas pada pandangan yang perlukan perhatian kita semua khususnya dalam lapangan sastera tanah air. Wallahualam.
*Tulisan ini sudah duterbitkan dalam ruangan Sastera & Budaya, Harakah dengan judul ‘Teknik Cerita yang Berilmu’. Sebarang cuplikan perlu dikreditkan kepada Harakah.
Recent Comments